SUNNYLANDS
(California) 16 Feb. - Malaysia dan rakan-rakan ASEAN berharap perhatian dan
keutamaan yang diberikan oleh Amerika Syarikat (AS) terhadap rantau Asia
Tenggara dapat diteruskan oleh pengganti Presiden Barack Obama.
Harapan
itu dinyatakan oleh pemimpin dalam Sidang Kemuncak ASEAN-AS di pemukiman
eksklusif padang pasir Annenberg di sini hari ini (Rabu waktu Malaysia) yang
melihat potensi hubungan dengan AS amat besar.
Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang merumuskan pertemuan itu berkata,
berdasarkan sidang kemuncak yang juga diadakan semasa cuti umum AS menunjukkan
negara ini memberikan komitmen tinggi terhadap hubungannya dengan ASEAN.
“Saya
dan rakan-rakan lain menyatakan bahawa kita berharap Presiden AS akan datang
juga menunjukkan komitmen sama untuk menjamin proses yang berterusan dan
berkekalan ini diteruskan,” katanya kepada wartawan Malaysia.
Najib
menambah, sidang kemuncak ini juga memberikan gambaran bahawa ASEAN yang
mempunyai 630 juta penduduk telah mendapat pengiktirafan dunia sebagai sebuah
blok penting dan mempunyai potensi besar.
“Jangan
lupa saiz ekonomi bernilai RM2.4 trilion dengan peningkatan jumlah penduduk
kelas menengah yang memberi makna ASEAN mempunyai potensi besar ditambah kita
sekarang dikenali sebagai satu komuniti,” jelas beliau.
Mengulas
mengenai sesi pagi ini, Perdana Menteri berkata, selain Obama yang
mempengerusikan majlis dan Presiden Laos, Choummaly Sayasone yang juga
Pengerusi ASEAN, beliau turut dijemput untuk berucap sebagai negara penyelaras
hubungan ASEAN-AS.
Menurutnya,
selepas hubungan ASEAN-AS diangkat menjadi perkongsian strategik pada November
lalu kedua-dua pihak terus berazam untuk meningkatkan kerjasama ekonomi,
politik, keselamatan dan rakyat ke rakyat.
“ASEAN
juga berpendapat hubungan dengan Amerika Syarikat ini adalah sangat penting
samalah seperti hubungan kita dengan China,” jelas beliau.
AS
merupakan rakan dagang keempat dengan ASEAN. Hubungan perdagangan dua hala
ASEAN-AS pada 2014 mencecah AS$212
bilion, meningkat 2.7 peratus berbanding 2013.
AS
juga punca keempat pelaburan langsung asing pada 2014 dengan jumlah diterima
AS$13 bilion atau 9.5 peratus keseluruhan pelaburan langsung asing dalam ASEAN.
Najib
berkata, melalui hubungan strategik itu AS boleh memainkan peranan untuk
menjamin kawasan ASEAN dapat terus menangani cabarannya sama ada dari segi
krisis kemanusiaan, bencana, keganasan dan ekstremisme.
Mesyuarat
peringkat tertinggi yang juga dipanggil oleh Washington sebagai sidang kemuncak
Sunnylands bersambung esok yang akan memfokus kepada perbincangan untuk
menggalakkan keamanan, kemakmuran dan keselamatan di Asia Pasifik sebelum satu
kenyataan bersama dikeluarkan.
Antara
isu yang dijangka dibangkitkan pada hari terakhir sidang kemuncak ini
ialah jenayah rentas sempadan, keganasan
dan isu maritim.
Ketua
delegasi lain yang hadir pada sidang kemuncak ini ialah Sultan Brunei, Sultan Hasanal Bolkiah;
Presiden Filipina, Benigno S. Aquino III; Presiden Indonesia, Joko Widodo;
Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen dan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien
Loong.
Yang
lain ialah Perdana Menteri Vietnam, Nguyen Tan Dung; Perdana Menteri Thailand,
Prayut Chan-o-cha; Timbalan Presiden Myanmar, Nyan Tun dan Setiausaha Agung
ASEAN, Le Luong Minh.
-Utusan-
No comments:
Post a Comment