KUANTAN, 14 Feb (Bernama) -- Fenomena ribuan kerang terdampar di Pantai Mempisang, Tanjung Gemuk, Rompin dan Pantai Sura, Dungun, Terengganu minggu ini tiada kaitan dengan tsunami seperti tanggapan sesetengah pihak.
Menurut
Dekan Fakulti Pengajian Sains Perikanan dan Akuakultur Universiti Malaysia
Terengganu (UMT) Prof Dr Mazlan Abd Ghaffar, kejadian itu sebaliknya berkait
rapat dengan ombak besar dan kejadian hakisan pantai.
"Dis
tahun lepas di Pantai Mempisang juga dilaporkan tentang kejadian kepah naik ke
pantai dan ketika itu berlaku ombak besar bersama hujan lebat.
"Begitu
juga kejadian yang sama pada tahun ini di Pantai Sura dan Pantai Mempisang, ia
berkait dengan faktor angin monsun yang kuat berserta ombak besar ditambah
dengan hakisan pantai.
"Ia
menyebabkan spesies kerang berbulu ini yang hidup berhampiran pantai bercampur
sedikit lumpur terdampar ke pantai disebabkan arus pengangkut yang kuat,"
katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Menurutnya
spesies kerang berbulu, nama saintifiknya Anadara Spilula, adalah hidupan biasa
yang boleh didapati berhampiran pantai dan turut mempunyai kaitan dengan
spesies kerang lain seperti Anadara Granosa, Anadara Indica dan Anadara
Inequiualuis.
"Jika
hendak dikaitkan dengan petanda tsunami seperti yang berlaku di Pulau Pinang
pada Dis 2004, ia berbeza kerana kebiasaannya sejam sebelum kejadian itu air
laut akan surut luar biasa menyebabkan banyak spesies ikan laut terdampar di
pantai," katanya.
Sehubungan
itu beliau meminta orang ramai agar tidak mudah percaya dengan berita yang
tidak tepat berhubung fenomena tersebut.
- BERNAMA -
No comments:
Post a Comment