Lokman Adam

Lokman Adam
Facebook Lokman Noor Bin Adam

Wednesday, 17 February 2016

H2O: ATM Tidak Terlibat 
Kempen Ketenteraan


KUALA LUMPUR 16 Feb. – Kementerian Pertahanan menafikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terlibat atau menyertai sebarang kempen ketenteraan yang diterajui Arab Saudi untuk menentang pemberontakan di Yemen sebagaimana digembar-gemburkan menerusi media sosial.


Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, sebaliknya ATM hanya menyertai latihan ‘Thunder of the North’ yang merangkumi pasukan darat, laut serta udara dan melibatkan penyertaan 20 negara termasuk Malaysia di kawasan latihan Hafar Al Batin, di utara Arab Saudi.


Katanya, latihan yang diadakan pada 16 Februari hingga 4 Mac depan itu merupakan latihan ketenteraan pelbagai negara yang telah wujud lebih 15 tahun lalu dan telah diadakan sebelum operasi ketenteraan di Yemen lagi.


“Latihan ketenteraan ini diadakan di utara Arab Saudi, sementara Yemen pula terletak di bahagian selatan sempadan Arab Saudi. Jelas sekali latihan ini tiada kaitan langsung dengan kempen ketenteraan terhadap Yemen ketika ini.


“Saya konsisten menyatakan bahawa Malaysia menyokong sebarang usaha membanteras kegiatan militan, tetapi ATM tidak terlibat dengan sebarang operasi ketenteraan di Yemen,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.


Semalam, sebuah agensi berita Arab Saudi, SPA, melaporkan bahawa Malaysia turut bersama-sama dengan kira-kira 20 negara lain dalam misi ketenteraan besar-besaran yang disifatkan sebagai ‘terpen­ting’.


Menurut Hishammuddin, ATM telah dijemput oleh Arab Saudi untuk menyertai latihan tersebut dan agensi pertahanan negara itu telah mengambil kesempatan untuk menimba pengalaman operasi ketenteraan dalam suasana yang berlainan dengan Malaysia.


Lebih-lebih lagi, kata Hishammuddin, latihan di kawasan teluk itu merupakan yang pertama kali disertai ATM dan diyakini memberi manfaat besar serta pengalaman berguna kepada angkatan itu pada masa depan.


“Latihan ini juga memberi peluang kepada ATM untuk lebih memahami prosedur-prosedur berkaitan Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) yang mungkin dilaksanakan kelak, khususnya dalam operasi menyelamat dan membawa keluar warga Malaysia sekiranya berlaku konflik di rantau tersebut.



“Dalam usaha menjadi sebuah angkatan yang berwibawa di rantau ini, ATM akan sentiasa mengambil kesempatan dan peluang untuk melatih warganya dalam pelbagai situasi, suasana dan kawasan sejajar dengan visi ATM,” ujar beliau.

-Utusan-

No comments:

Post a Comment