KUALA
LUMPUR, 16 Feb - Penyalahgunaan media sosial yang semakin berleluasa
kebelakangan ini, jika tidak dibendung akan menjadi ancaman kepada perpaduan
negara.
Menteri
di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup berkata walaupun kebebasan
bersuara dijamin dalam Perlembagaan negara, media sosial tidak sepatutnya
disalahgunakan sehingga memecahbelahkan keharmonian yang sedia terjalin.
"Saya
harap media sosial digunakan dengan cara yang baik, kalau mahu buat kritikan,
buat kritikan yang munasabah jangan diputar belitkan. Kadang-kadang kita lihat
kenyataan pemimpin kita pun diputar belitkan.
"Gunakan
media sosial untuk mendapat maklumat atau memuatkan pendapat yang boleh membina
negara, jangan jadikan punca pergaduhan antara satu sama lain, ia tentu sekali
akan memecahbelahkan perpaduan," katanya.
Beliau
bercakap kepada Bernama selepas menjadi tetamu Program Dalam Radar di Bernama
Radio24 di sini, dengan tajuk "Nilai Perpaduan Dalam Kalangan
Masyarakat".
Kurup
berkata kerajaan menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM)
sedang mengkaji untuk memperkemaskan undang-undang menerusi pindaan terhadap
Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 bagi menangani penyebaran fitnah
dalam media sosial.
"Kita
bukan mahu sekat kebebasan tetapi ia akan dijadikan garis panduan untuk
penggunaan media sosial supaya ia digunakan secara berhemah dan tidak
disalahgunakan," katanya.
Dalam
perkembangan berkaitan, Kurup berkata tanggungjawab menjaga keamanan negara
adalah kolaborasi yang seharusnya dikongsi antara kerajaan dan juga rakyat.
"Ia
perlukan kerjasama antara semua pihak yang ada di negara kita, saya harap semua
pihak dapat menghayati betapa pentingnya perpaduan. Apabila tidak ada
perpaduan, tidak akan ada keamanan, dan tanpa keamanan tentu sekali negara
tidak akan berjaya," katanya.
-Bernama-
No comments:
Post a Comment