Lokman Adam

Lokman Adam
Facebook Lokman Noor Bin Adam

Wednesday, 17 February 2016

Kastam laksana Sistem Mata Demerit kepada ejen mulai 1 April


PUTRAJAYA: Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM) akan memperkenalkan Sistem Mata Demerit mulai 1 April depan kepada semua ejen penghantaran dan perkapalan.


Timbalan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Johari Abdul Ghani berkata sistem tersebut membolehkan Kastam menangani isu ketirisan cukai selain perendahan nilai kastam.


"Jadi dengan ada sistem ini, kita akan dapat meningkatkan kebolehan kita mengawal ketirisan cukai yang berlaku dalam ekonomi kita.


"Kalau sistem ini dapat kita perkemaskan, dalam jangka masa panjang, kerajaan akan mewujudkan sistem percukaian yang efisien sekali gus mewujudkan persaingan yang sihat dalam kalangan pemain industri," katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Dasar Pematuhan Baru Ejen Kastam 2016 di sini hari ini.


Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Khazali Ahmad berkata, pada ketika ini ejen yang melakukan kesalahan hanya dikenakan kompaun.


"Kesalahan yang paling kerap adalah kesalahan mengikrar ataupun menggunakan kod yang salah. Katakan sesetengah barang itu bercukai, dia (ejen) mengikrarkan barangan tersebut tidak bercukai.


"Jika nilai (cukai) RM1, dia (ejen) ikrar 50 sen atau 20 sen... ini perlu dilakukan supaya kita (Kastam) dapat mengutip cukai dengan tepat," katanya.


Jelasnya, ejen-ejen Kastam yang melakukan kesalahan tertentu dan mencapai mata demerit yang ditetapkan, boleh digantung atau dibatalkan lesen.


Justeru, katanya prestasi ejen dinilai secara lebih sistematik dan memudahkan Kastam menentukan tahap pematuhan ejen terhadap dasar dan perundangan yang telah ditetapkan.


Sebelum ini, pihaknya telah mengambil tindakan menggantung kira-kira 70 lesen ejen penghantaran dan perkapalan.



Seminar hari ini dihadiri oleh ejen-ejen penghantaran dan perkapalan Zon Tengah iaitu dari Selangor, Kuala Lumpur, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan.



-BNBCC-

No comments:

Post a Comment