Rakyat harus menerima realiti bahawa masyarakat tempatan, khususnya golongan belia, tidak berminat untuk bekerja dalam sektor 3D iaitu bahaya, kotor dan sukar.
Menteri Belia dan Sukan Khairy
Jamaluddin Abu Bakar berkata ini kerana dalam beberapa bidang pekerjaan seperti
pembinaan, perladangan dan perkilangan, gaji yang ditawarkan agak rendah dan
bebanan kerja yang berat.
“Saya percaya industri sedemikian
juga tidak mampu menawarkan gaji yang tinggi, justeru kita tiada pilihan selain
terpaksa mengambil pekerja asing,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan
aplikasi ‘fitness in my pocket’ di sini Selasa.
Beliau berkata demikian ketika
diminta mengulas mengenai kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad
Zahid Hamidi pada Ahad lepas yang mencabar belia tempatan mengambil alih tempat
pekerja asing untuk bekerja di sektor 3D.
Khairy berkata kenyataan Ahmad
Zahid itu menjelaskan mengenai realiti mengenai bidang yang tidak diminati
rakyat tempatan dan memerlukan pengambilan pekerja asing untuk bekerja di
bidang itu.
Baru-baru ini, kerajaan dilapor
merancang untuk membawa masuk 1.5 juta pekerja dari negara Bangladesh yang akan
dilaksanakan dalam tempoh tiga hingga lima tahun.
Sementara itu, mengenai aplikasi
baharu yang dilancarkan itu, ia dibangunkan oleh eSolved MSC Sdn Bhd yang
membolehkan pengguna telefon pintar untuk melatih dan membuat senaman sendiri
dengan mudah.
-BicaraNews-
No comments:
Post a Comment