KUALA
LUMPUR, 17 Feb- Penggiat industri pelancongan perlu memanfaatkan
sepenuhnya gelombang ketibaan pelancong akan datang, yang diunjurkan berkembang
sebanyak empat hingga lima peratus di Asia dan Pasifik tahun ini, kata Timbalan
Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau
berkata, melalui penciptaan produk menarik dan bernilai tinggi, ditambah pula
dengan perkhidmatan berkualiti, mereka akan dapat menarik lebih banyak
pelancong antarabangsa ke negara ini.
"Tinjauan
Pertubuhan Pelancongan Sedunia atau UNWTO bagi 2016 mengunjurkan ketibaan
pelancong antarabangsa akan berkembang sebanyak empat peratus di seluruh dunia,
manakala di peringkat serantau pula, pertumbuhannya dijangka mencatat jumlah
lebih besar di Asia dan Pasifik iaitu antara campur empat peratus hingga campur
lima peratus.
"Oleh
itu, saya percaya, tiada masa yang lebih baik daripada sekarang bagi Malaysia
untuk memanfaatkan sepenuhnya gelombang pertumbuhan akan datang ini,"
katanya ketika merasmikan majlis Anugerah Pelancongan Malaysia 2014/2015 di
sini malam ini.
Beliau
berkata kerajaan akan memainkan peranannya untuk menggubal dasar yang boleh
menjadikan Malaysia sebuah destinasi lebih mesra pelancong, dengan memberi
keutamaan terhadap keselamatan negara dan kemudahan perjalanan.
Ahmad
Zahid berkata pelaksanaan pengecualian visa dan sistem e-visa bagi memudahkan
perjalanan lebih banyak pelancong China ke Malaysia adalah antara langkah yang
menunjukkan kesungguhan kerajaan untuk menambah baik sektor pelancongan negara
ini.
Berikutan
sasaran untuk menarik lapan juta pelancong China dalam masa lima tahun akan
datang, kata Ahmad Zahid, kerajaan memudahkan mereka untuk datang ke Malaysia,
memandangkan persaingan untuk menarik mereka sangat sengit, lebih-lebih lagi
apabila Thailand dan Indonesia juga berusaha untuk menarik pelancong dari
negara itu.
"Masing-masing
mempunyai daya tarikan, tetapi Malaysia, saya tahu, mempunyai kelebihan
berbanding mereka kerana negara kita benar-benar bersifat pelbagai kaum,
pelbagai budaya dan pelbagai agama.
"Ini
suatu kelebihan, suatu keunikan yang hanya dimiliki Malaysia dan perlu kita
manfaatkan untuk mempromosikan negara kita kepada pelancong China,"
katanya.
Dalam
ucapan beliau juga, Ahmad Zahid mengumumkan artis dan penyanyi terkenal tanah
air, Sheila Hamzah, yang popular di China, akan dilantik sebagai Duta
Pelancongan Malaysia bagi menarik lebih banyak pelancong dari negara itu.
Terdahulu,
Ahmad Zahid berkata sejak beberapa tahun lepas, industri pelancongan Malaysia
mencatat pertumbuhan ketara dari segi ketibaan pelancong dan sumbangan terhadap
ekonomi.
Katanya
daripada hanya 5.5 juta ketibaan pelancong pada 1998, yang menyumbang
pendapatan berjumlah kira-kira RM8.5 bilion, Malaysia dijangka menarik 36 juta pada
2020 dan menjana pendapatan pelancongan sebanyak RM168 bilion.
Turut
hadir pada majlis itu ialah Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri
Mohamed Nazri Abdul Aziz, timbalan beliau, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan
beratus-ratus penggiat industri pelancongan.
Dianjurkan
Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, sebanyak 65 anugerah disampaikan kepada
penggiat industri yang memberi sumbangan cemerlang dan penting terhadap
kejayaan industri pelancongan Malaysia.
Ia
termasuk Anugerah Pengusaha Perjalanan Tempatan Terbaik, Pengusaha Perjalanan
Asing Terbaik, Pakej Perjalanan Terbaik, Tarikan Pelancong Terbaik, Pemandu
Pelancong Terbaik, Inap Desa Terbaik dan Perkhidmatan Hotel Terbaik.
-
BERNAMA -
No comments:
Post a Comment