KUALA
LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad diingatkan untuk
menghentikan serangan serta kritikan terbuka secara langsung terhadap Peguam
Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali atau keputusan yang dibuat oleh mana-mana
pihak sebagai satu perkara yang tidak wajar dan tidak berpatutan.
Pengerusi
Gagasan Badan Ekonomi Melayu (GABEM), Tan Sri Dr Rahim Thamby Chik berkata,
sebagai pegawai tertinggi dalam bidang perundangan negara, tugas dan
tanggungjawab Peguam Negara adalah mempertahankan kedaulatan undang-undang
tanpa memilih 'bulu' dan tidak gentar dengan sebarang keputusan yang dibuat.
"Di
dalam konteks ini serangan peribadi dan kritikan terbuka Tun Mahathir terhadap
Mohamed Apandi adalah tidak wajar dan tidak berpatutan memandangkan hujah-hujah
yang digunakan Tun Mahathir masih samar selain tidak disokong bukti yang kukuh
lagi konkrit.
"Mungkin
Tun Mahathir menggunakan persepsi negatif sebahagian rakyat terhadap kerajaan
atau petikan dari sumber media dari dalam dan luar negara yang sememangnya
anti-kerajaan dan bencikan Malaysia.
"Sebenarnya
sumber seperti ini belum boleh dianggap sebagai bukti yang kukuh dan konkrit
serta tidak sesuai dijadikan landasan untuk membuat tomahan secara spesifik,
terbuka dan peribadi kepada seseorang penjawat awam seperti Peguam
Negara," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.
Mahathir
dalam tulisannya di blog chedet.cc, 3 Februari lalu, mendakwa Mohamad Apandi
tidak akan mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam kes SRC
International dan dana RM2.6 bilion kerana kononnya terhutang budi dengan
Najib.
Kenyataan
Mahathir itu mendapat reaksi Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang
berkata, pihaknya akan memulakan siasatan berhubung kandungan blog itu yang
dilaporkan mempunyai unsur fitnah.
Dalam
pada itu tegas Rahim, keputusan Mohamed Apandi adalah berlandaskan penyiasatan
rapi dan teliti serta komprehensif yang disempurnakan penyiasat Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sendiri.
"Misalnya
dalam isu derma RM2.6 bilion kepada Najib, tentunya keputusan Peguam Negara
membebaskan Najib dari tomahan ini (melakukan amalan jenayah) telah dibuat
berlandaskan penyiasatan rapi dan teliti oleh SPRM.
"Sebagai
Peguam Negara pastilah dia lebih tahu dan insaf apa yang diputuskan sebagai
amanah Allah dan negara kepadanya.
"Memandangkan
situasi dan fakta itu, eloklah Tun Mahathir dengan segera menghentikan
serangan-serangan peribadi dan kritikan terbukanya memandangkan rakyat akan
melihatnya lebih kepada usahanya mempertahan dan menyelamatkan kepentingan
peribadi serta keluarga lebih dari melindungi kepentingan nasional,"
jelasnya.
Mohamed
Apandi sebelum ini turut memaklumkan, di bawah Akta SPRM 2009, tiada bukti yang
menunjukkan Najib menyalahgunakan kedudukannya dalam mesyuarat Kabinet yang
meluluskan jaminan kerajaan ke atas pinjaman RM4 bilion kepada SRC
International daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan atau KWAP.
-Awani-
No comments:
Post a Comment