KUALA
LUMPUR, 16 Feb (Bernama) -- Malaysia perlu memberi tumpuan kepada pelaburan
bakat terutamanya dalam kalangan pelajar sekolah sebagai usaha mencapai status
negara maju dan berpendapatan tinggi.
Menteri
Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim
berkata masa depan negara terletak pada golongan muda yang bakal menjadi
pemimpin.
"Sejarah
tamadun manusia menunjukkan bahawa bangsa berjaya adalah mereka yang sentiasa
menerokai dan mencipta ilmu baharu.
"Pengetahuan
sebegini akan menghasilkan inovasi baharu yang dapat membantu negara
meningkatkan kualiti hidup rakyat di masa akan datang," katanya pada
majlis penyampaian Biasiswa Mutiara 2016 daripada Persatuan Kebajikan Anak
Melayu Pulau Pinang di Wilayah Persekutuan dan Selangor di sini, Selasa.
Seramai
250 pelajar menerima sumbangan kewangan sebanyak RM400 seorang daripada
persatuan itu.
Rohani
turut mengingatkan para pelajar untuk sentiasa meningkatkan ilmu pengetahuan
dengan menjadikan membaca sebagai budaya kehidupan.
Katanya,
tabiat membaca tidak harus dipraktikkan hanya untuk lulus peperiksaan sahaja
tetapi perlu berterusan untuk menjana minda dan aspirasi.
Sementara
itu, seorang daripada penerima sumbangan tersebut, Muhd Aniq Aqasha Mohd
Bistamam, 10, walaupun kehilangan kaki kanan akibat kanser tulang, ianya tidak
mematahkan semangat dan kecekalannya untuk terus memburu cita-cita sebagai
pakar bedah terkemuka.
Beliau
mahu menjadikan nasib yang menimpa dirinya sebagai inspirasi serta pembakar
semangat untuk merawat pesakit kanser suatu hari nanti.
"Saya
tidak pernah berasa rendah diri dengan keadaan saya malah menjadikan saya lebih
kuat untuk belajar sehingga cita-cita saya tercapai," katanya kepada
pemberita selepas majlis tersebut.
Pelajar
tahun empat Sekolah Kebangsaan Seri Tasik, Bandar Sri Permaisuri di sini yang
menghidap kanser sejak dua tahun lepas kini bergantung kepada tongkat untuk
bergerak.
-BERNAMA -
No comments:
Post a Comment