SUNNYLANDS - Perdana Menteri Malaysia, dan para pemimpin
Asia Tenggara menyertai Presiden Barack Obama di Sidang Kemuncak AS-ASEAN
selama dua hari yang sedang berlangsung di sini.
Tumpuan pemimpin pada perhimpunan Isnin ini (Selasa di
Malaysia) adalah bagi mengukuhkan pertumbuhan ekonomi ASEAN menerusi inovasi
dan keusahawanan.
Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dan Menteri Perdagangan
Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed menyertai Datuk Seri Najib
Tun Razak semasa perbincangan mengenai ekonomi.
Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN 2015, menjadi tuan rumah
kepada Sidang Kemuncak ASEAN-AS Ketiga di Kuala Lumpur, November tahun lepas.
Sewaktu di Kuala Lumpur, Presiden Obama telah menjemput
pemimpin dari 10 negara anggota ASEAN itu untuk mengadakan pertemuan di bumi
Amerika Syarikat buat kali pertama.
ASEAN terdiri daripada Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos,
Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.
Obama dan pemimpin ASEAN dijadualkan menghadiri majlis makan
malam di Sunnylands, sebuah estet seluas 90 hektar di Rancho Mirage yang
merupakan lokasi sidang kemuncak itu, di mana mereka akan meneruskan
perbincangan.
Mereka dijangka membincangkan secara mendalam isu berkaitan
politik dan keselamatan termasuk memerangi keganasan, maritim dan isu rentas
negara pada Selasa (Rabu di Malaysia).
- BERNAMA -
No comments:
Post a Comment