Lokman Adam

Lokman Adam
Facebook Lokman Noor Bin Adam

Tuesday 16 February 2016

Zahid Hamidi: Jalinan Keselamatan Malaysia - UK Dipererat



PUTRAJAYA 15 Feb. – Jalinan kerjasama dalam bidang keselamatan antara Malaysia dan United Kingdom (UK) akan dipereratkan menerusi tiga aspek penting, kata Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.


Timbalan Perdana Menteri berkata, tiga aspek tersebut ialah program pemodenan kepolisan, sistem pemantauan keselamatan sempadan dan ke­sinambungan usaha menangani kumpulan militan Negara Islam (IS).


Katanya, kerjasama dalam program pemodenan kepolisan akan memfokuskan kepada soal penggunaan peralatan atau aset moden terutama melibatkan penukaran alatan analog kepada digital.


“Kedua, adalah program kese­lamatan di sempadan sama ada di perairan atau di darat. Pihak UK telah menawarkan agar teknologi yang digunakan mereka digabungkan penggunaannya di negara ini.
“Tidak mungkin satu sistem sahaja yang digunakan di Malaysia kerana kita mempunyai perairan yang agak panjang dan kawasan persempada­nan luas, sama ada di utara Semenanjung atau di sempadan Sabah dan Sarawak dengan Indonesia,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.


Terdahulu, beliau menerima kunjungan Menteri Pertahanan (Peralatan, Sokongan dan Teknologi) UK, Philip Dunne.
Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Alwi Ibrahim.


Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri menjelaskan, kerjasama tersebut juga menekankan tentang kesinambungan usa­ha menangani IS yang tidak terhad kepada pertukaran maklumat antara Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak keselamatan UK dan Interpol.


Kata beliau, kerjasama itu juga melibatkan pemantauan media sosial melalui Digital Counter Messaging yang akan mula beroperasi di Malaysia pada 1 Mei ini.



Melalui ketiga-tiga aspek tersebut, beliau berharap, jalinan hubungan kerjasama antara pihak Malaysia-UK dapat dipereratkan bagi memberi keberhasilan untuk mempertingkatkan tahap keselamatan di Malaysia.

-Utusan Malaysia-

No comments:

Post a Comment