Lokman Adam

Lokman Adam
Facebook Lokman Noor Bin Adam

Monday 15 February 2016

Penduduk Miri Rugi Jika Wakil Rakyat Dipilih Tidak Membela Kebajikan Rakyat - Peter Chin



MIRI: Penduduk Miri akan rugi sekiranya memilih wakil rakyat yang tidak dapat membela kebajikan rakyat serta kurang keupayaan membangunkan ekonomi Miri.

Bekas Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Tan Sri Peter Chin tidak mahu Miri diasing dalam pentadbiran kerana tidak mempunyai suara kuat daripada BN dalam kabinet negeri dan pusat.


“Kita mahu wakil rakyat BN di Miri bertambah. Kalau kurang, kita akan rugi. “Sebab wakil yang benar-benar berminat tidak dipilih tetapi mereka yang dipilih tidak mampu berbuat apa-apa,” jelas Chin.


Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Tengah Hari Tahun Baharu Cina anjuran beliau dan isteri, Puan Sri Ruby Chin di sini, semalam.


Chin yang kini menjadi penasihat SUPP, mahu penduduk Miri memberi kepercayaan dan menyokong tiga calon SUPP untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.


Mereka ialah Menteri Muda Perhubungan merangkap ADUN Senadin Datuk Lee Kim Shin untuk kerusi DUN Senadin, Pengerusi SUPP Piasau Datuk Sebastian Ting untuk kerusi DUN Piasau dan Pengerusi SUPP Pujut Adam Yii untuk kerusi DUN Pujut.


Chin memberitahu, beliau lama mengenali ketiga-tiga calon itu yang berpengalaman dalam politik dan rela berkhidmat kepada rakyat.


“Saya sangat khuatir dalam Pilihan Raya Negeri kali ini. Saya meminta rakan komponen BN termasuk pertubuhan agar memberi kerjasama kepada calon kita, “ jelas Chin.


Tentang kepimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem, Chin berkata Adenan telah menyampaikan mesej bahawa beliau tegas dalam membela hak rakyat Sarawak dan menyuarakan keperluan Sarawak kepada kerajaan pusat.


“Ini petunjuk bahawa Adenan berbeza dari segi pentadbiran dan teladan sebagai seorang pemimpin negeri,” ujar Chin.


Mengulas lanjut tentang pembangunan Miri, Chin berkata Miri memerlukan lebih banyak projek pembangunan daripada kerajaan untuk memantapkan status bandar raya yang dikecapi sejak 2015.


Katanya sepanjang menjadi Ahli Parlimen Miri selama 27 tahun, kerjasama antara wakil-wakil rakyat BN di peringkat negeri dan pusat berjaya membangunkan Miri daripada sebuah pekan kecil menjadi sebuah bandar raya.


“Kita tidak mahu pembangunan di Miri berhenti. Kita mahu Miri menjadi bandar raya yang besar, “ tegas Chin.



Turut hadir Ahli Parlimen Sibuti Ahmad Lai Bujang, Residen Miri Antonio Kahti Galis dan Datuk Bandar Miri Lawrence Lai. 

- klxpress -

No comments:

Post a Comment